Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:
-
Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
-
Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
-
Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
-
Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
- Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.
Perlaksanaan
Dalam melaksanakan Program Khidmat Negara ini, beberapa aspek penting telah diambil kira iaitu seperti:
-
Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
-
Pelaksanaan telah dimulakan pada tahun 2004.
-
Kemudahan infrastruktur latihan dan kemudahan-kemudahan asrama seperti yang terdapat di kem-kem PLKN seluruh negara.
-
Implikasi kewangan.
-
Menghadkan kesan ke atas sistem pembelajaran yang sedang berjalan.
-
Guna tenaga dari segi kepakaran dan pengalaman.
Visi
Menjadikan sebuah organisasi yang terunggul dalam membantu remaja agar bersemangat waja.
Berkeyakinan
diri, setia kepada negara, sentiasa bersedia menghadapi sebarang
cabaran dan dugaan kearah memupuk kerjasama dan perpaduan di kalangan
pelbagai kaum di negara ini.
Misi
Berhasrat
menjadi organisasi utama yang membentuk generasi berdisiplin, setia
kepada negara,bersemangat waja,berperwatakan positif dan cintakan
perpaduan.
Membuat kajian keberkesanan mengenai Program Latihan Khidmat Negara sejajar dengan objektif dan matlamat negara.
MODUL LATIHAN
Modul Fizikal
Modul
Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran
dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan
peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang
berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat
mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan
mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman,
keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran
menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam
kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih
untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti
kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan
pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti
menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni
mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul
ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak
perkhemahan.
Modul Kenegaraan
Modul
Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan
pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan
perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara.
Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk
mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat,
kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui
elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa
sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta
membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi
ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui
asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan
antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti
seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan,
memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen
Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air,
rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem
pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Peserta
memahami kepentingan dan cara untuk mempertahankan kebebasan negara
melalui elemen Kedaulatan. Cabaran dari dalam dan luar negara juga
diperbincangkan supaya peserta menyedari peluang dan ancaman yang
datang secara berterusan. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan
pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik
kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan
lain-lain.
Modul Pembinaan Karakter
Modul
Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina
karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri,
keluarga, komuniti dan negara. Terdapat dua komponen yang akan dilalui
peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua
adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama,
peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal
pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan
dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan
orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja
sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam
kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui
komponen kedua modul ini. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan,
latihan dan lain-lain, peserta belajar tentang kejujuran, membuat
pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan
membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama dua minggu dan
peserta dipimpin oleh jurulatih.
Modul Khidmat Komuniti
Kehidupan
ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai
kekuatan untuk mencuba sesuatu." Kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh
dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan
kekuatan serta keyakinan diri. Dengan itu, sebagai langkah
merealisasikan aspirasi tersebut, Program Latihan Khidmat Negara telah
dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa modul tertentu kepada para
pelatih yang berumur 18 tahun. Salah satu modul yang terdapat dalam
pelaksanaan Program latihan Khidmat Negara ialah Modul Khidmat Komuniti
. Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan
awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di
Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan
melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah
ditetapkan .
Objektif
Secara
umumnya, Khidmat komuniti dalam Program Khidmat Negara adalah latihan
amali di dalam komuniti berdasarkan latihan yang telah dilalui oleh
para pelatih dalam komponen perkhemahan (modul fizikal), kenegaraan dan
pembinaan karektor. Teras Program Latihan Khidmat Negara adalah untuk
membentuk sebuah masyarakat yang berdisiplin, bersemangat waja,
berkeyakinan diri, setia kepada Negara, sentiasa bersedia menghadapi
sebarang cabaran dan dugaan serta untuk memupuk kerjasama dan perpaduan
dikalangan pelbagai kaum di Negara ini.
Remaja
dewasa ini harus memahami kepentingan hidup bermasyarakat. Mereka perlu
diberi peluang menikmati kehidupan bermasyarakat, memahami maslaah
masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses pembangunan sosial
masyarakat. Setiap remaja harus sedar masalah-masalah yang dialami di
kampus turut berlaku di komuniti mereka di luar kampus. Wira dan
wirawati seharusnya mampu membina kebolehan menabur khidmat untuk
komuniti sebagai generasi baru yang mempunyai kesedaran terhadap
tanggung jawab sosial, berkesedaran sivik dan mengutamakan solidariti
masyarakat.
Objektif khusus modul khidmat komuniti adalah untuk membolehkan wira dan wirawati :
. membina semangat patriotisme dan semangat perpaduan menerusi modul khidmat komuniti
. memperoleh latihan praktikum kemahiran dan nilai yang telah dihayati
semasa latihan modul fizikal,kenegaraan dan pembinaan karektor
. membangunkan kemahiran, pengetahuan dan nilai mengenai kesukarelaan
. menggalakkan penglibatan para remaja dalam pertubuhan sosial khususnya pertubuhan-pertubuhan belia
Aktiviti
Bagi
melaksanakan aktiviti secara kolektif dan menyeluruh, aktiviti
sepanjang siri dibahagikan kepada 5 pecahan komponen supaya wira dan
wirawati mampu memahami aspirasi khidmat komuniti di antaranya ialah:
1)
Kejiranan - Antara projek utama yang dijalankan ialah mengecat dewan
orang ramai, pembahagi jalan, menceriakan taman, lawatan ke rumah-rumah
jiran di kawasan kampong, melakukan program anak angkat dan pelbagai
lagi.
2) Kemudahan
awam - para pelatih turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti di
lokasi-lokasi terpilih. Antaranya ialah pembaikpulihan perhentian bas,
pembaikpulihan dewan masyarakat, memberi kesedaran kepada para pelatih
dan masyarakat tempatan mengenai kepentingan kemudahan awam melalui
ceramah ringkas, gotong-royong di rumah-rumah ibadat seperti masjid,
kawasan kubur dan sebagainya.
3)
Khidmat sosial - Antara aktiviti yang dijalankan dalam komponen ini
adalah mendengar taklimat daripada institusi-institusi yang dilawat
seperti Bengkel Orang Kurang Upaya, PENGASIH, hospital, klinik-klinik
desa dan pelbagai lagi.
4)
Alam sekitar - Aktiviti yang paling banyak dilakukan ialah
gotong-royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan
kawasan sekitar.
5)
Penempatan di Jabatan - Tujuan adalah untuk memberi peluang kepada
pelatih PLKN memahami peranan dan tanggungjawab beberapa buah Jabatan
Kerajaan terutamanya Jabatan yang berorentasikan pakaian seragam
(beruniform). Disamping itu memberi kesedaran tentang tanggungjawab
mereka untuk membantu Jabatan dan mengetahui peluang-peluang kerjaya
yang tersedia ada dalam jabatan dan agensi berkenaan.